بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Bila kita membicarakan tentang cinta, ramai orang terkepung dalam persepsi yang salah, iaitu hanya berlegar di sekitar alam remaja ataupun alam sewaktu mula-mula mengenal cinta semata-mata. Hidangan cinta dengan wajah yang tidak tepat di dada filem dan novel memburukkan lagi persepsi salah tentang cinta tersebut. Kemudian muncul pula segolongan manusia yang mahu mewajahkan cinta dengan lebih ‘islamik’ namun malangnya mereka tidak lebih sekadar menambah perkataan ‘islam’ di hujung setiap aksi songsang yang dipamerkan.
Terkepung dengan persepsi yang salah tentang cinta sebenarnya memberi kesan yang cukup buruk kepada tumbesaran seorang pemuda ( dan pemudi ). Mereka membesar dengan menganggap itulah cinta. Walhal cinta yang mereka kenali sebelum itu boleh jadi adalah hawa nafsu, boleh jadi adalah lakonan membuai perasaan, dan boleh jadi aksi-aksi monyet yang jauh dari nilai kematangan.
Sesungguhnya seseorang itu tidak mungkin akan mengenal dan menjiwai sebuah cinta, melainkan apabila mereka mampu keluar dari persepsi yang salah tentang cinta lalu beralih kepada sebuah persepsi yang benar tentang cinta.
Benar, ertinya pada takrifan syarak. Bukan akal fikiran kita semata-mata.
FANTASI BERPELANGI
” i bila kahwin dengan Azman nanti, i akan jadi princess dalam hidup dia. i akan masak sedap-sedap untuk dia tiap-tiap hari. wah..tak sabarnye i..!! “
Begitu seronok seorang anak gadis bercerita tentang impian hidupnya. Tentang buah hatinya. Tentang cinta yang ingin dibina. Tetapi apa yang sedang dilalui ketika itu hanyalah keluar bersama setiap minggu, bergayut di telefon setiap hari dan bertukar-tukar hadiah di harijadi. Tidak lebih daripada itu.
Merancang untuk berkahwin sebagai kemuncak perhubungan adalah suatu yang baik.
Cuma perlu diingatkan juga, supaya tidak terus tenggelam dalam fantasia berpelangi indah cuma. Sehingga gagal mengenal hakikat cinta dan rumahtangga yang sebenar.
” Apa masalahnya? kitorang ok je. tak ada gaduh-gaduh. tiap kali jumpa mesti kitorang rasa cinta kitorang bertambah. so kalau kitorang kahwin pun mesti ok je “
Memang betul tidak ada masalah.
Sebab anda dan dia berjumpa bukan setiap hari. Anda dan dia tidak tinggal sebumbung. Anda berjumpa ketika anda sedang cun, cantik, wangi dan dia juga sedang macho bergaya. Anda berjumpa tika anda mampu mengukirkan senyuman paling indah menawan dan dia pula ketika sedang tenang dan control macho.
HAKIKATNYA
Analoginya samalah seperti anak-anak yang tinggal di asrama.
Bila pulang ke rumah sekali sekala, mak dan ayah bukan main gembira. Cakap saja apa yang anak-anak hendak, pasti ditunaikan. Anak nak makan itu, mak masakkan. Anak nak baju itu, ayah belikan. Hari-hari memang ceria dan seronok.
Tetapi masuk minggu kedua, ketiga dan seterusnya, keadaan berubah. Tiba-tiba ada pula yang tidak kena, bermasam muka, bergaduh dan sebagainya. Mak ayah yang awalnya memandang dengan pandangan yang menyejukkan mata, tiba-tiba pandangan berubah bagai merimaskan mata.
Itu lumrah yang biasa berlaku dalam keluarga, terutama jika anak-anak bercuti lama. Ada sahaja isu yang akan timbul.
Nah, rumahtangga juga begitu.
Cinta yang dibina seawal lafaz sakinah memang indah dan mengasyikkan. Tetapi perlu diingat, ia akan disambung dengan Mawaddah dan Rahmah. Kurang salah satu bererti musnahlah sebuah cinta.
Jika dipertontonkan babak sepasang suami isteri yang baru berkahwin, di mana si isteri menghidang makanan dan si suami menyuap dengan penuh selera seraya memuji-muji keenakan masakan isteri, siapa yang tidak akan rasa teruja. Terutama anak-anak muda yang belum berkahwin. Mulalah letak lengan di dahi setiap kali berbaring untuk tidur dan berangan hingga ke pagi.
Yang indah itu jika diimpi tidak menjadi masalah. Tapi kena ingat, babak itu tidak berlaku setiap hari. Bahkan boleh jadi tidak mungkin berlaku pun di awal perkahwinan.
Bagi pasangan muda contohnya, bukan mudah untuk seorang suami merasa benar-benar enak dengan air tangan isteri. Kalau isteri pandai memasak sekalipun, belum tentu kena dengan selera suami. Itu ok lagi, pandai memasak. Bagaimana pula kalau tidak pandai memasak? Resepi yang diminta dengan orang lain atau di’google’ belum tentu menjadi dengan sekali dua percubaan. Semuanya perlukan masa.
Babak romantik seorang suami dan isteri yang sedang menonton televisyen dengan gurau senda pula pastinya menjadikan sebahagian besar anak muda terbang ke dunia anganan penuh berwarna. Mengimpi-impi hingga ke subuh hari.
Tapi kena ingat, babak itu pun tidak berlaku setiap hari, bahkan untuk berlaku jarang-jarang sekali pun sukar. Jadual kerja mungkin tidak sama. Balik kerja mungkin kepenatan. Lelaki biasanya tidak suka diganggu apabila penat. Dia mahu berehat dengan aman sambil menonton atau membaca. Isteri pula, waktu itulah waktu yang suami ada. Dia mahu berbicara. Dibuka topik itu dan ini, yang kadang-kadang dia terlupa sehingga terbuka topik berbentuk permasalahan yang mengakibatkan suami tertekan. Kemudian apabila masing-masing merasa tidak difahami dan tidak dihargai, mulalah menarik muka masam. Seterusnya menjadi dingin dan hambar.
Tika itu hanya IMAN yang mampu berbicara. Imanlah yang melahirkan kesabaran. Mencetus ketenangan.
Gedik-gedik sudah tiada.
SAKINAH, MAWADDAH DAN RAHMAH
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. [ Ar-Ruum : 21 ]
Saya teringat ketika talk rumahtangga bersama Dr Harlina Siraj lebih kurang empat tahun lepas. Beliau menghuraikan tentang tiga elemen tersebut dengan cantik sekali. Katanya Sakinah berlaku diperingkat awal sebagai suatu perkara yang dijanjikan oleh Allah dalam rumahtangga.
Mawaddah pula lebih berbentuk keseronokan biologi. Bersumber dari kecantikan, keindahan, keromantikan dan sebagainya. Termasuklah juga rasa ingin dipeluk, dicium, dibelai, dimanja, hubungan seksual dan sebagainya.
Ramai orang memburu rumahtangga dan ingin mendapatkan orang yang mereka cinta dek kerana aspek Mawaddah tersebut. Ketika membuak-buak rasa kasih, cinta dan suka. Ketika kedua-duanya sedang berada di puncak asmara.
Hinggakan mereka terlupa tentang aspek Rahmah.
Kata beliau, Rahmah itulah yang kekal hingga ke hujung usia. Tika isteri tidak lagi cantik, badan mula kehilangan bentuk, senyum tidak lagi seksi menawan, waktu itu jika hanya mahukan Mawaddah semata-mata, maka musibahlah sebuah rumahtangga. Lalu terjadilah kisah-kisah kecurangan lelaki berusia dengan gadis-gadis muda. Memburu cinta dan keseronokan hingga terlupa tentang usia.
Namun rumahtangga yang wujud padanya Rahmah, menjadikan suami dan isteri tersebut kekal menguntum cinta. Walaupun hubungan badan tidak lagi ada, namun rasa cinta, kasih dan sayang tidak berakhir semata-mata kerana itu sahaja. Ini kerana mereka mengenal hakikat cinta, bukan gedik atau mabuk asmara semata-mata.
Lalu Rahmah itulah yang menjadikan mereka tetap tolong menolong, berbual bersama, makan bersama, sakit juga bersama-sama. Oh ya, babak awal dalam filem UP menggambarkan apa yang saya tuliskan ini. Cukup menarik dan bermakna.
BIARLAH DENGAN IMAN, BUKAN GEDIK
Saya sebutkan sisi yang mungkin jarang disebut, difikir atau dipertimbangkan secara mendalam, bukan kerana mahu mengurangkan keseronokan pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga. Tidak sama sekali.
Sebaliknya saya mahu menegur si gedik yang melihat rumahtangga dari kacamata kegedikan semata-mata.
Apa bezanya dengan iman dan gedik?
Besar bezanya.
Kalau dengan gedik, cinta mereka hanya hidup sekali sekala.
Tetapi dengan IMAN, cinta mereka hidup sepanjang masa.
Asal cinta dari keimanan akan membawa sesuatu pasangan berinspirasikan ayat Allah dalam surah Ar-Rum di atas.
Namun jika asal cinta dari kegedikan, yang mereka inspirasikan adalah babak-babak mengasyikkan dalam novel dan filem sahaja.
Ingatlah, apa yang difikirkan tentang cinta, jika hanya berbentuk indah semata-mata, maka itu jelas sekali bukan cinta. Itu hanya fantasi dan untuk seronok-seronok semata-mata. Jika anda hanya ada itu, fikirkan dan pertimbangkan semula untuk mendirikan rumahtangga jika anda masih muda.
Tiliklah cinta dari kacamata pasangan yang sudah berusia.
Sebab itu, jika anda anak gadis terutamanya, ambillah peluang untuk bergaul dengan makcik-makcik atau nenek-nenek ketika anda berkesempatan bersama mereka di kampung, umpamanya. Jangan tika pulang ke kampung, anda dengan telefon bimbit sepanjang masa bermesej dan bergayut dengan pakwe. Turunlah ke dapur, duduk dengan orang-orang berusia. Mereka ada banyak nasihat berguna untuk anda mengenal cinta.
Yang penting, biarlah rasa cinta anda dilapik dengan keimanan.
Hendak tahu cinta ada gedik atau tidak?
Mudah sahaja – jika anda merasakan urusan cinta anda itu tidak ada kaitan langsung dengan perkataan IMAN.
p/s: hak asal - Myilham.com